Thursday, April 26, 2018

Tema 1 Penduduk


Bahagian B: Geografi Alam Sekitar Manusia



Penduduk




Konsep Penduduk



1               Penduduk ialah bilangan orang atau manusia yang mendiami sesuatu kawasan atau ruang bumi dalam masa tertentu. Mereka membentuk kumpulan atau kelompok manusia yang menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial dan bertindak balas dengan alam sekitar.

2               Penduduk menjalankan aktiviti dan kehidupan dengan memanfaatkan sumber alam seperti tanih, lautan, galian atau mineral, air dan udara di persekitaran mereka.

3               Kemajuan dan keintelektualan penduduk moden membolehkan mereka berinteraksi dan merubah alam sekitar fizikal dan persekitaran untuk mengisi kehidupan yang mencabar.

4               Manusia atau penduduk dan alam sekitar saling berinteraksi dan bertindak balas.

5               Manusia juga adalah agen perubahan melalui aktiviti ekonomi dan sosial mereka, manusia boleh merubah keadaan dan persekitaran dengan tindakan yang kadang-kadang sangat melampaui batas dan memberikan impak yang besar ke atas persekitaran fizikal dan budaya.



Penduduk sebagai Sumber




1               Sumber merujuk kepada segala unsur atau elemen yang wujud dalam alam semula jadi. Antara unsur alam yang penting ialah seperti air, udara, hutan atau tumbuhan, mineral atau galian dan tanah. Sumber adalah sesuatu yang sangat penting serta sangat bernilai. Jika tidak ada sumber, maka tidak ada kehidupan.

2               Penduduk atau modal insan terutama generasi muda adalah sebahagian daripada sumber, iaitu sumber manusia. Kehadiran manusia sangat penting, sangat berharga, berguna dan bernilai dalam mengeksploitasi kekayaan alam semesta.

3               Penduduk sebagai sumber atau modal insan yang penting ini boleh diukur atau dinilai berdasarkan aspek kuantiti dan kualiti.

4               Sebagai sumber, penduduk dari sudut perspektif ekonomi merupakan bahan atau input yang penting kepada sesebuah komuniti atau negara kerana mereka mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri dari segi jasmani atau fizikal, emosi, rohani, intelek dan spiritual (JERIS). la mencerminkan seseorang manusia itu berguna jika kesemua aspek JERIS itu baik dan sempurna yang terangkum dalam diri individu tersebut.

5               Konsep penduduk sebagai sumber ialah mereka yang dianggap sebagai satu harta atau aset atau modal yang bernilai, yang memberi keuntungan dan kebaikan kepada sesebuah negara atau kumpulan di persekitarannya.

6               Kuantiti penduduk pula merujuk kepada bilangan, jumlah atau saiz penduduk sama ada ramai atau sedikit, padat atau jarang dan mendiami sesebuah wilayah atau negara.

7               Bilangan penduduk yang ramai terutama penduduk yang berada dalam lingkungan umur produktif, iaitu berumur dari 15 hingga 64 tahun (50 peratus dari jumlah penduduk Malaysia) menyumbang tenaga kepada pembangunan, keselamatan, pertahanan dan aspirasi negara. Bilangan penduduk yang ramai adalah pasaran yang besar kepada keluaran dan produk negara. Bilangan penduduk yang ramai adalah suatu kekuatan dan kelebihan.

8               Penduduk sebagai sumber juga merupakan tenaga buruh atau pekerja yang penting. Tenaga kerja yang ramai, muda, murah dan mudah membantu pembangunan sesebuah negara terutama dalam aktiviti pengeluaran produk dan aktiviti sosial dan perkhidmatan.

9               Selain itu, penduduk sebagai sumber juga berkaitan dengan aspek umur dan jantina penduduk. Penduduk umur muda yang bermula daripada kanak-kanak dan yang berumur sehingga 45 tahun adalah sumber masa depan negara. Mereka adalah golongan pelapis dan permata yang penting untuk membantu memajukan negara.

10           Di Malaysia golongan tua atau warga emas berusia lebih 60 tahun (6 peratus daripada jumlah penduduk) masih boleh memberi sumbangan kepada kemajuan dan pembangunan negara. Bilangan golongan umur tua semakin meningkat kerana jangka hayat yang semakin panjang. Kaedah rawatan moden dalam hospital yang lengkap di samping kesedaran pentingnya kesihatan yang baik menyebabkan jangka hayat penduduk semakin panjang.

11           Penduduk sebagai sumber dari segi aspek kualiti dikenal pasti melalui taraf pendidikan, kepakaran dan kemahiran, taraf dan tahap kesihatan serta nilai insaniah atau soft Skill dan sikap. Kualiti penduduk yang tinggi boleh menentukan tahap pembangunan dan kemajuan sesebuah negara.

12           Taraf pendidikan rendah, menengah, ijazah, sarjana dan doktor falsafah yang dimiliki membezakan kualiti penduduk dari segi keintelektualan. Kadar literasi yang tinggi mencerminkan kemajuan sesebuah negara dan menyediakan tenaga kerja yang berpengetahuan.

13           Begitu juga kepakaran dan kemahiran seseorang insan terutama dalam bidang teknikal, penyelidikan dan teoretikal membantu sesebuah negara mencapai hasrat menandingi negara maju atau negara bertaraf dunia. Jurutera, arkitek, ahli kimia, pendakwah, pereka, juruteknik, jurureka dan Iain-Iain adalah antara golongan berkemahiran tinggi dalam bidang masing-masing.

14           Kualiti fizikal dan dalaman individu yang baik mempengaruhi seseorang warganegara. Rakyat sihat negara sejahtera; jika penduduk sihat mereka akan lebih produktif, kompetitif dan boleh bekerja dengan lebih rajin. Kesihatan penduduk sangat dititikberatkan oleh pihak kerajaan. Hal ini dapat dibuktikan dengan pembinaan banyak hospital, menyediakan doktor pakar dan jururawat terlatih, mengawal penularan wabak serta teknologi pencegahan penyakit yang sangat efektif.

15          


Nilai insaniah seperti sikap positif, kerjasama, cekap, amanah, bertoleransi, kepimpinan yang dinamik dan mengamalkan nilai-nilai murni membentuk penduduk menjadi sumber dan insan yang boleh memacu dan memimpin negara ke arah kesejahteraan. Nilai murni yang luhur adalah benteng hati yang ampuh.

16           Sebagai tenaga kerja, penduduk berkualiti mengamalkan nilai-nilai dan etika kerja yang menitikberatkan kerja bersungguh-sungguh, kesetiaan kepada perusahaan, dedikasi dalam tugas dan mengamalkan sikap berdikari.

17           Tahap integriti yang tinggi di samping kejujuran dan amanah terhadap majikan serta institusi juga merupakan modal insan dan sumber manusia yang sangat berkualiti.

18           Antara faktor yang boleh mempengaruhi penduduk sebagai sumber yang berkualiti ialah bekalan makanan mencukupi, berkualiti atau berkhasiat. Air yang bersih dan bekalan yang berterusan menjamin kualiti hidup yang selesa.

19           Kualiti dan kuantiti penduduk menentukan tahap eksploitasi sumber alam sekitar semula jadi dan seterusnya mempengaruhi tahap pembangunan sesebuah negara.

 


Penduduk sebagai Agen Perubahan




1               Manusia atau penduduk sesebuah negara berupaya mengeksploitasi sumber ekonomi dan kekayaan alam semula jadi dengan ilmu, kemahiran, kepakaran yang dimiliki di samping sedikit nilai cinta dan sayang kepada persekitaran. Mereka boleh mengubah persekitaran fizikal dan budaya sehingga wujud persekitaran baharu yang sama ada sangat mapan atau sebaliknya sehingga rosak, musnah dan pupus. Kerosakan dan kepupusan amat merugikan generasi akan datang.

2               Melalui tindakan, eksploitasi dan campur tangan manusia sama ada secara berhemah ataupun agresif, secara langsung atau tidak langsung telah menyebabkan berlaku perubahan yang sangat besar kepada persekitaran fizikal dan sosiobudaya. Jadi, penduduk adalah agen perubahan alam sekitar yang dominan.

3               Agen bermaksud seseorang yang melakukan sesuatu yang menimbulkan atau meninggalkan kesan.

4               Cara penduduk memainkan peranan sebagai agen perubahan adalah melalui pelbagai aktiviti sosioekonomi mereka agar sesuai dengan kehendak dan keperluan hidup seharian. Tindakan dan gubahan penduduk yang berterusan telah memberi impak atau perubahan-perubahan yang meluas, sementara atau berterusan seperti:

(a)          perubahan sosioekonomi

(b)          perubahan pandang darat fizikal dan empat sistem fizikal (geomorfologi, atmosfera, hidrologi dan ekologi)

(c)          perubahan terhadap pandang darat budaya atau manusia (petempatan, guna tanah, pengangkutan dan lain-lain hasil gubahan manusia).

5               Aktiviti manusia menjalankan kegiatan pertanian sama ada pertanian pindah (masa dahulu) dan pertanian ladang atau estet (pada masa sekarang) telah banyak merubah landskap fizikal dan landskap sosiobudaya sesebuah kawasan.

6               Aktiviti pertanian pindah penduduk pedalaman terutamanya kaum asli mengubah persekitaran fizikal dengan membersihkan hutan pada saiz yang kecil dan kemudiannya dibakar, menanam padi bukit dan ubi. Plot tanah akan ditinggalkan setelah digunakan beberapa musim dan mereka akan meneroka kawasan bercucuk tanam yang baharu. Kawasan yang ditinggalkan lama-kelamaan akan menjadi semak samun atau belukar.

7               Aktiviti pertanian ladang menggunakan kaedah pembersihan hutan secara besar-besaran, peneresan bukit, perataan tanah, pembajakan, penanaman berteres, penggunaan baja kimia dan racun serangga dan mengutip hasil dengan jentera moden berantai boleh menyebabkan berlaku hakisan dan tanah runtuh, tanah tandus dan permukaan tanah yang kasar, kerosakan ekosistem dan pencemaran air. Hutan rimba telah bertukar menjadi ladang getah dan kelapa sawit dalam bentuk yang sangat sistematik dan tersusun.

8               Kesan daripada proses transformasi desa dan pembandaran telah menyebabkan kawasan paya telah ditebus guna oleh pengusaha dengan cadangan kerajaan untuk membina rumah kediaman, pembesaran lapangan terbang dan pusat pertumbuhan baharu atau rancangan tanah baharu. Pembinaan kompleks perniagaan dan perdagangan juga dibangunkan di kawasan laut yang ditambak atau ditebus guna. Kawasan paya dan pantai laut cetek telah bertukar dengan rumah kediaman, hotel, dan pusat perdagangan. Perubahan landskap secara besar-besaran telah berlaku.

9               Aktiviti menternak udang dan ikan (kegiatan akuakultur) oleh penduduk juga telah merubah kawasan paya nipah dan hutan paya bakau menjadi kolam penternakan. Hutan paya nipah dan hutan paya bakau yang berperanan sebagai zon penampan telah lenyap. Rantaian makanan terputus dan kepelbagaian biologi telah berhijrah dan pupus. Landskap kolam dan binaan bangsal memproses mewujudkan dimensi baharu persekitaran fizikal dan pandang darat budaya.

10           Paling menarik ialah aktiviti manusia yang membina empangan untuk pengairan dan menjana kuasa elektrik hidro. Dengan pembinaan empangan yang besar, ia telah menenggelamkan kawasan hutan yang luas dan kayu bernilai ke dalam tasik buatan yang sangat besar dan mewujudkan beratus pulau yang dulunya adalah sebuah puncak bukit atau gunung. Contohnya seperti Empangan Kenyir, Empangan Chenderoh, Empangan Temenggor dan lain-lain.

11           Pada skala yang lebih besar penduduk terutama pemimpin syarikat global, teknokrat dan pemimpin negara yang berkaliber telah berjaya membawa negara seperti Malaysia berdiri sama tinggi dengan negara maju melalui perdagangan dan hubungan antarabangsa. Mereka telah merubah suasana dan iklim perniagaan, pelaburan dan dasar luar negara yang telah mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang sangat pesat membangun.



Taburan Penduduk



Konsep Taburan dan Kepadatan Penduduk




1               Taburan penduduk bermaksud penumpuan, sebaran atau agihan dan pembahagian penduduk di atas sesuatu ruang, kawasan atau wilayah, negeri, negara dan benua. Taburan adalah dalam keadaan yang berbeza kepadatan dan sentiasa berubah mengikut peredaran masa, kemajuan ekonomi dan politik.

2               Taburan penduduk di permukaan bumi secara umumnya adalah tidak seragam, tidak seimbang atau tidak sekata. Ada kawasan yang padat dengan penduduk, kawasan sederhana padat dan kawasan yang jarang dihuni penduduk atau berkepadatan rendah. Ada juga kawasan ekstrem atau melampau yang tidak didiami manusia.

3               Bentuk muka bumi, iklim, tumbuh-tumbuhan semula jadi dan ketersampaian yang rendah semuanya telah menghadkan aktiviti dan taburan manusia. Kawasan tundra (Kutub Utara) misalnya sangat sejuk dan terpencil maka ia hanya dihuni oleh penduduk nomad kaum Eskimo. Hutan tebal, gurun panas, bukit dan gunung atau tanah tinggi semuanya menghalang tumpuan penduduk ke kawasan tersebut. Terdapat penduduk orang asli di kawasan terpencil dan berhutan tebal.

4               Kawasan tumpuan yang paling padat dengan penduduk di dunia ialah sama ada di kawasan pembangunan perindustrian yang maju atau wilayah pembangunan pertanian yang intensif dan saintifik.

5               Antara kawasan pembangunan perindustrian utama yang menjadi tumpuan penduduk sejak zaman dahulu ialah kawasan perusahaan barat laut Eropah, iaitu United Kingdom, Jerman, Denmark, Perancis dan kawasan perusahaan timur laut Amerika Syarikat di sekitar tasik-tasik besar Sungai St. Lawrence hingga ke New York.

6               Lembah Chang Jiang di China, Dataran Indus-Ganges di India, Delta Menam Chao Phraya di Thailand, Delta Irrawaddy di Myanmar, Pulau Jawa di Indonesia, Pulau Luzon di Filipina serta lembah dan delta Sungai Nil di Mesir menjadi tumpuan penduduk pada masa dahulu dan kini kerana tanah yang subur untuk menjalankan aktiviti pertanian.

7               Kepadatan (densiti) penduduk bermaksud bilangan atau jumlah penduduk sesebuah kawasan atau negara dibahagikan dengan keluasan kawasan atau negara tersebut. Formula pengiraan kepadatan penduduk adalah seperti berikut:






8               Aras kepadatan penduduk sesebuah kawasan atau negara sama ada berkepadatan tinggi atau rendah adalah dipengaruhi oleh keluasan sesebuah negara atau kawasan tersebut.

9               Kepadatan penduduk adalah berbeza-beza antara negara misalnya Malaysia (53 orang km persegi), India (260 orang km persegi), Jepun (327 orang km persegi), China (118 orang km persegi), Australia (dua orang km persegi), Singapura (5280 orang km persegi).

10           Benua Eropah yang meliputi sebanyak 25 buah negara dengan keluasan 9.6 juta kilometer persegi dan bilangan penduduk berjumlah 850 juta adalah berkepadatan penduduk, iaitu 90 orang setiap km persegi.



Taburan Penduduk Mengikut Wilayah




1               Jumlah penduduk dunia pada tahun 2014 ialah seramai tujuh bilion dan taburan atau sebaran penduduk mengikut wilayah dunia adalah tidak seimbang atau tidak sekata. Keadaan tersebut mewujudkan kawasan padat, sederhana padat dan jarang seperti berikut:



Wilayah Dunia
Taburan (%)
Asia
Afrika
Amerika Latin
Amerika Utara
Eropah
Australasia
62
12
9
6
11
1



2               Taburan penduduk wilayah dunia mengikut benua menunjukkan hampir tiga per empat penduduk terdapat di benua Asia dan benua Eropah. Lebih separuh daripada penduduk dunia pula tinggal di negara-negara Asia. la meliputi lebih 60 peratus penduduk dunia atau berjumlah lebih kurang tiga bilion orang.

3               Manakala kawasan Oceania yang meliputi Australia dan New Zealand adalah kawasan yang berpenduduk jarang atau kurang penduduk.

4               Kawasan tumpuan penduduk yang padat dengan kepadatan 200 orang bagi setiap kilometer persegi terdapat di beberapa buah kawasan utama, iaitu barat laut Eropah (United Kingdom, Jerman, Denmark, Perancis) Asia Timur (China), Asia Selatan (India), Amerika Utara (USA-New York dan Kanada-Ottawa) dan Tokyo di Jepun.

5               Kawasan sederhana padat yang berkepadatan 50 hingga 200 orang bagi setiap kilometer persegi meliputi kawasan padang rumput hawa sederhana seperti Prairie di Kanada, Asia Tenggara, Afrika Tengah, Afrika Selatan, Eropah Timur, bahagian Selatan Rusia dan timur Australia.

6               Kawasan yang kurang menjadi tumpuan dan jarang penduduk seperti di kutub, kawasan tundra di Kanada, kawasan pergunungan seperti Gunung Himalaya (Nepal), Gunung Rocky (Amerika Utara), Gunung Andes (Peru-Bolivia), kawasan padang pasir dan Gurun Sahara (Afrika Utara), Gurun Gobi (China) serta kawasan pedalaman Asia Tenggara seperti Borneo, Kalimantan dan Sumatera.



Faktor-faktor yang Mempengaruhi Taburan dan Kepadatan PendudukWilayah Dunia




1               Pelbagai faktor boleh mempengaruhi taburan dan kepadatan penduduk dunia seperti faktor alam sekitar fizikal atau faktor semula jadi (iklim, bentuk muka bumi, tanah, saliran dan sumber galian) dan faktor kemanusiaan (dasar kerajaan, sistem pengangkutan, peluang pekerjaan, ekonomi dan lain-lain).

2               Sesebuah negara yang mempunyai bilangan penduduk yang kecil akan mengalami masalah taburan penduduk yang tidak seimbang atau tidak seragam. Ada sebahagian negara yang menjadi tumpuan sehingga sebahagian yang lain menjadi terlalu jarang penduduk seperti di Kanada dan Australia.

3               Bagi negara yang mempunyai terlalu ramai penduduk sehingga sumber alam yang ada di dalam negara tersebut tidak mencukupi untuk menampung penduduknya. Contohnya seperti negara Bangladesh dan India yang mengalami penduduk berlebihan.

4               Negara maju seperti Amerika Syarikat, negara-negara Eropah Barat serta Jepun dapat menampung bilangan dan keperluan penduduknya. Hal ini kerana kemajuan teknologi dan sumber alam yang mencukupi dapat menyerap ledakan penduduk dengan menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan yang optimum.

5               Kerajaan juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi taburan penduduk seperti melalui program transmigrasi penduduk di Indonesia. la dilakukan dengan menarik penduduk di Pulau Jawa (penduduk padat) ke Pulau Sumatera dan Kalimantan (penduduk jarang).

6               Program pembangunan wilayah dan pembukaan tanah baharu seperti di Malaysia merupakan perancangan kerajaan negara untuk mentransformasikan kawasan luar bandar. Perancangan serampang dua mata ini secara langsung telah menarik pelbagai kegiatan ekonomi berkaitan serta bilangan penduduk yang ramai tertumpu di sesebuah kawasan.

7               Faktor-faktor lain yang mempengaruhi taburan penduduk di wilayah dunia adalah seperti berikut:



Taburan dan Kepadatan Kawasan
Faktor yang Mempengaruhi
Kawasan padat penduduk
·      Letakan yang strategik seperti berdekatan dengan sumber air
·      Darjah ketersampaian yang tinggi
·      Kawasan tanah pamah yang luas dan subur untuk pertanian secara intensif
·      Kekayaan pelbagai jenis sumber galian termasuk bahan api Tumpuan pembangunan sektor ekonomi perindustrian, perdagangan dan perkhidmatan
·      Kemudahan sistem pengangkutan dan perhubungan
·      Perkembangan bandar-bandar
·      Tumpuan migrasi kerana terdapat pelbagai kemudahan
·      Kadar urbanisasi yang pesat
·      Sejarah pembangunan, dasar penjajahan dan tumpuan peradaban masa lampau
·      Sistem saliran yang baik dan berfungsi
Kawasan sederhana padat
·      Kawasan tanah pamah dan tanah beralun yang menggalakkan aktiviti pertanian sara diri, pertanian campur dan pertanian bijirin ekstensif
·      Kawasan pembalakan dan perlombongan
·      Kegiatan perindustrian dan pembandaran
Kawasan jarang penduduk
Pelbagai masalah dan halangan seperti lokasi yang jauh dan terpencil dan ketersampaian rendah kerana rupa muka bumi yang kasap. Iklim yang ekstrem atau melampau, lapisan tanah nipis serta hujan tahunan yang sedikit








Taburan Penduduk di Malaysia




1               Taburan penduduk Malaysia adalah tidak seimbang atau tidak seragam. Ketidakseragaman ini adalah antara kawasan atau wilayah Semenanjung Malaysia (Malaysia Barat) dengan Sabah dan Sarawak (Malaysia Timur).

2               Taburan penduduk yang tidak seimbang juga berlaku antara kawasan atau negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia (Kelantan, Terengganu dan Pahang) dengan pantai barat Semenanjung Malaysia (Selangor, Johor, Negeri Sembilan Perak dan Pulau Pinang). Lebih daripada 80% daripada penduduk Malaysia tertumpu di kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia.

3               Antara kawasan penduduk padat di Malaysia ialah di Lembah Klang, Lembah Kinta, Seremban, Pulau Pinang, delta Kedah-Perlis dan delta Kelantan. Manakala bandar yang menjadi pusat tumpuan penduduk pula seperti Johor Bahru, Ipoh, Kucing, Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu dan sebagainya.

4               Secara umum, kawasan yang sederhana padat penduduk terletak di kawasan penanaman getah, kelapa sawit, pertanian tanah tinggi, kawasan pesisir pantai serta kawasan pembangunan tanah dan pusat-pusat pertumbuhan baru.

5               Kawasan yang mempunyai bilangan penduduk yang sederhana padat seperti di kawasan Rancangan Pembangunan Tanah FELDA (Federal Land Development Authority) KEJORA (Rancangan Johor Tenggara), KESEDAR (Rancangan Kelantan Selatan), bandar-bandar kecil di Marang, Jerteh, Bachok, Port Dickson, Jasin, Kangar, Limbang, Semporna dan lain-lain.

6               Kawasan jarang penduduk di Malaysia seperti di kawasan pedalaman, iaitu di kawasan kaki-kaki bukit, kawasan-kawasan kampung dan petempatan yang sukar dihubungi terutama perkampungan orang asli seperti di sekitar Gua Musang Kelantan, Tanah Rata dan Kuala Tahan di Pahang.






Faktor-faktor yang Mempengaruhi Taburan Penduduk di Malaysia




1                Pelbagai faktor mempengaruhi taburan penduduk di Malaysia seperti bentuk muka bumi dan saliran, kegiatan ekonomi, kemudahan asas, sosial dan dasar kerajaan.

2                Faktor fizikal di Malaysia adalah berkait dengan keadaan tanah tinggi dan tanah pamah yang beralun, rata dan luas serta lembah-lembah sungai dan kawasan hutan rimba.

3                Kawasan berbukit bukau dengan liputan hutan yang tebal menyukarkan pembinaan petempatan dan penumpuan penduduk. Kawasan ini banyak terdapat di kawasan pedalaman Pahang, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

4                Kawasan tanah pamah dan rendah yang subur, bersaliran baik seperti di delta Kedah-Perlis, delta Kelantan, kawasan sepanjang Sungai Rajang dan Sungai Perak adalah kawasan tumpuan dan kepadatan penduduk utama.

5                Faktor ekonomi yang berkaitan dengan kemajuan perindustrian, perniagaan, pertanian dan perkhidmatan yang menyediakan banyak peluang pekerjaan menyebabkan ramai penduduk tertumpu ke kawasan bandar dan estet perindustrian seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, Petaling Jaya, Sungai Way, Seberang Perai, Bayan Lepas, Senawang, Tasek dan lain-lain.

6                Lembah Klang terutamanya metropolis Kuala Lumpur adalah destinasi utama tumpuan penduduk atau penghijrah dari negeri-negeri pantai timur dan utara semenanjung untuk bekerja dan menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi. la telah menjadi antara kawasan yang paling padat penduduk di Malaysia. Jumlah penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun 2010 ialah kira-kira 1.67 juta orang.

7                Kemudahan pengangkutan terutamanya jalan raya dan jalan kereta api sangat mempengaruhi mobiliti penduduk menuju ke sesuatu lokasi yang sarat dengan kemudahan sosial seperti sekolah dan institusi pengajian, klinik dan hospital. Ketersampaian yang rendah menyebabkan beberapa buah kawasan di Sabah dan Sarawak hanya dihuni oleh beberapa buah keluarga sahaja.

8               Dasar atau polisi kerajaan Malaysia yang memberi penekanan kepada kemajuan dan kesejahteraan negara dan rakyat telah membuka banyak kawasan pembangunan tanah FELDA, KETENGAH, KESEDAR, DARA dan KEJORA. Kawasan yang dipenuhi hutan tebal, tanpa jalan dan kemudahan sosial dibersihkan menjadi beberapa gugusan rancangan tanah moden dengan menarik penduduk yang tidak bertanah menjadi peneroka. Akhirnya, kawasan tanah rancangan ini telah menjadi pusat pertumbuhan baharu kawasan luar bandar dengan pelbagai kegiatan ekonomi dan tumpuan penduduk. Bandar Muadzam Shah, bandar Al-Muktafi Billah Shah dan bandar Jengka adalah pusat bandar yang menjadi tumpuan penduduk di luar bandar.

9               Dasar kerajaan Malaysia untuk menyeimbangkan kemajuan antara kawasan dan negeri seperti dasar penyelerakan industri ke kawasan atau negeri kurang maju menyebabkan penduduk tertumpu ke kawasan berkenaan. Contoh kawasan perindustrian di bawah program ini ialah seperti kawasan perindustrian Pengkalan  Chepa, Mak Mandin, Taman Teknologi Tinggi Kulim, Proton City dan lain-lain.



Kesan Taburan Penduduk yang Tidak Seragam terhadap Sumber Alam




1               Kesan tumpuan penduduk dan bilangan penduduk yang ramai di sesuatu kawasan ke atas sumber tanah akan menyebabkan berlakunya persaingan guna tanah yang sengit. Kawasan tanah akan digunakan untuk aktiviti perindustrian, petempatan atau pertanian. Saiz tanah akan menjadi kecil dan tidak ekonomik untuk menjalankan aktiviti pertanian secara meluas. Harga tanah juga semakin meningkat.

2               Penggunaan tanah yang sangat intensif untuk pertanian demi menampung keperluan penduduk yang ramai menyebabkan tanah cepat hilang kesuburan dan menjadi tandus. Hakisan dan tanah runtuh juga akan berlaku. Sungai menjadi cetek apabila kelodak daripada hakisan masuk ke dalam sungai.

3               Sumber galian atau mineral akan cepat habis bila dieksploit secara berleluasa menyebabkan sesebuah kawasan itu terjejas dari segi kemajuan dan pembangunan. Bijih timah yang telah habis dilombong di Lembah Kinta, Lembah Klang, Taiping, Seremban dan Sungai Lembing telah menyebabkan beberapa buah bandar kecil yang sangat sibuk pada tahun 1960-an dan 1970-an telah menjadi bandar mati.

4               Hutan yang kaya dengan pelbagai khazanah flora dan fauna yang merupakan habitat biodiversiti serta orang asli telah turut terjejas akibat keperluan penduduk yang ramai.

5               Tumpuan penduduk ke kawasan bandar besar telah menyebabkan kawasan tersebut dipenuhi sampah sarap. Pencemaran persekitaran ini menyebabkan timbul masalah penyakit, ketidakselesaan dan masalah bau busuk. Udara juga turut tercemar apabila kilang dibina dan kenderaan yang membebaskan gas karbon monoksida dan sulfur dioksida.

6               Ada kawasan yang kaya dengan sumber mineral dan tanah yang luas seperti di pedalaman Sabah dan Sarawak tetapi berpenduduk jarang menyebabkan isu pembaziran alam sekitar akan berlaku.

7               Sebaliknya apa yang positif ialah dengan tumpuan penduduk yang ramai ke sesuatu kawasan boleh menyebabkan semua sumber yang ada seperti mineral, tanih dan tumbuhan akan digunakan secara optimum untuk tujuan meningkatkan ekonomi dan taraf hidup penduduk. Banyak peluang pekerjaan akan wujud.



Pertumbuhan Penduduk



Pertumbuhan Penduduk Dunia



1               Pertumbuhan penduduk dunia hari ini, khususnya di negara sedang membangun di Asia, Afrika dan Amerika Latin sangat pesat. Bilangan penduduk sentiasa meningkat daripada masa ke semasa disebabkan oleh kadar kelahiran yang tinggi dan kadar kematian yang rendah.

2               Pertumbuhan penduduk yang pesat adalah berikutan peningkatan tahap kesihatan dan keadaan hidup yang semakin baik. Bagaimanapun, pertumbuhan penduduk di negara maju mutakhir ini menunjukkan kadar yang agak perlahan atau dikenali sebagai kadar pertumbuhan penduduk sifar (zero population growth).

3               Pada tahun 2005, penduduk dunia berjumlah 6.9 bilion dan mengikut suruhanjaya mengenai Kependudukan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan jumlah penduduk dunia akan meningkat kepada 9 bilion pada tahun 2050.

4               Daripada 238 buah negara yang di rekod oleh Biro Bancian Amerika Syarikat pada tahun 2010, China mencatatkan penduduk paling ramai, iaitu 1.3 bilion orang manakala Pitcairn Island adalah negara paling sedikit penduduknya, iaitu 64 orang. Jumlah penduduk Malaysia pula ialah seramai 28.7 juta orang. Pada tahun 2100 penduduk dunia dijangka meningkat kepada 10.1 bilion.

5               Trend pertumbuhan penduduk dunia masa kini:

(a)          Penduduk dunia bertambah tiga orang setiap saat atau 250 000 sehari atau 90 juta hingga 100 juta orang setahun.

(b)          Pada tahun 1990, bilangan penduduk dunia ialah 5.3 bilion dan era 1933-an ini menyaksikan pertumbuhan penduduk paling pesat dalam sejarah pembangunan manusia sejagat



Jadual 1 Anggaran penduduk dunia mengikut wilayah pada tahun 2û15



Wilayah dunia
Bilangan Penduduk  (juta orang)
Asia Timur
2 050.6
Asia Tenggara
4873
Amerika Selatan — Carribean
624.3
Asia Barat — Afrika Utara
393.9
Asia Selatan
1651.9
Afrika sub-Sahara
921.1
Eropah Barat
286.8
Amerika Utara
450.3
Oceania
252



6               Pertumbuhan penduduk merujuk kepada peratus perubahan bilangan penduduk yang mendiami sesuatu kawasan pada masa tertentu, tidak kira sama ada perubahan itü positif (bertambah) atau negatif (berkurang) disebabkan kadar kelahiran, kematian dan migrasi bersih. Kombinasi tiga faktor tersebut telah menyebabkan perubahan bilangan penduduk berlaku sama ada pesat, semakin bertambah atau stabil.

7               Pertumbuhan penduduk juga merujuk kepada perbezaan antara kadar kelahiran dengan kematian serta perbezaan antara migrasi maÅŸuk dengan migrasi keluar (migrasi bersih).

8               Pertumbuhan semula jadi penduduk ialah perbezaan antara bilangan kematian dengan bilangan kelahiran (kadar kelahiran tolak kadar kematian). Manakala pertambahan penduduk ialah bilangan penduduk yang semakin ramai atau meningkat.

9               Kadar pertumbuhan penduduk adalah paling tinggi di Asia, manakala pertambahan penduduk terendah adalah di Eropah, iaitu dengan keadaan pertumbuhan penduduk sifar.

10           Kelahiran dan migrasi maÅŸuk akan menambahkan bilangan penduduk sesuatu kawasan manakala kematian dan migrasi keluar akan mengurangkan penduduk di sesuatu kawasan.

11           Kadar kelahiran merujuk kepada bilangan bayi yang dilahirkan oleh setiap 1 000 orang penduduk dalam sesuatu tahun. Kadar kelahiran sangat tinggi di negara seperti Afrika, Amerika Latin dan Asia (35/1 000 orang).

12           Kadar kematian pula ialah bilangan kematian bagi setiap 1 000 orang penduduk. Berikut ialah kadar pertumbuhan penduduk dunia mengikut negara dan kawasan terpilih:



Jadual 2 Pertumbuhan penduduk dunia



Negara/Kawasan
Pertumbuhan (%)
Mexico
3.0% ke atas
Ecuador
3.0% ke atas
Arab Saudi
3.0% ke atas
Algeria
3.0% ke atas
India
2.0% hingga 2.9%
Bangladesh
2.0% hingga 2.9%
India
2.0% hingga 2.9%
Filipina
2.0% hingga 2.9%
China
1.0% hingga 1.9%
Australia
1.0% hingga 1.9%
Argentina
1.0% hingga 1.9%
USA/Amerika Utara
Kurang daripada 1.0%
Perancis
Kurang daripada 1.0%
United Kingdom
Kurang daripada 1.0%
Switzerland
Kurang daripada 1.0%



 


Faktor-faktor yang Mempengaruhi Pertumbuhan Penduduk




Faktor-faktor yang Mempengaruhi Kadar Kelahiran




1               Faktor hayat berkaitan dengan bangsa, kesihatan dan kesuburan genetik. Misalnya, kadar kesuburan wanita dipengaruhi oleh umur semasa berkahwin. Perkahwinan pada usia muda atau kahwin muda boleh mempengaruhi kadar kesuburan dan keupayaan melahirkan anak yang lebih ramai.






2               Faktor demografi seperti bilangan penduduk, umur, komposisi jantina, tempat tinggal di luar bandar atau bandar dan status wanita sama ada berkerjaya atau sebaliknya. Wanita berkerjaya cenderung berkahwin pada usia yang lewat. Bilangan penduduk muda yang ramai boleh mempengaruhi pertumbuhan penduduk. Golongan penduduk muda adalah lebih subur dan sihat.

3               Faktor sosial seperti berkahwin awal pada usia muda, perkahwinan kanak-kanak (kedua-dua belah keluarga bersetuju untuk mengahwinkan anak mereka apabila sudah dewasa atau matang), umur semasa berkahwin, tabiat seks dan adat berkaitan perkahwinan.

4               Di Asia, umur purata semasa berkahwin ialah 22.6 tahun, di Asia Timur ialah 24.2 tahun, di India 19.3 tahun dan Afrika 18.5 tahun. Pada zaman 1970-an, umur berkahwin di Malaysia ialah 15—19 tahun.

5               Adat perkahwinan berkaitan poligami dan poliandri (amalan bersuami lebih daripada satu orang pada masa yang sama) banyak berlaku tetapi hanya melibatkan beberapa buah negara seperti penduduk India dan Mongolia yang mengamalkan poliandri.

6               Dari segi agama, sebarang cubaan yang sengaja menghadkan saiz keluarga dianggap sebagai penyelewengan hükum agama. Agama Islam dan Kristian Katolik mengharamkan pengguguran janin.

7               Taraf pendidikan dan pekerjaan seseorang mempengaruhi kehidupan kekeluargaan. Saiz keluarga yang kecil sudah mencukupi bagi mereka yang berpendidikan tinggi dan terlibat dalam bidang profesional.

8               Dasar kerajaan juga mempengaruhi saiz keluarga. Contohnya pada tahun 1970, Singapura mengamalkan dasar menghadkan bilangan anak, iaitu hanya dua orang sahaja, di China dasar hanya satu orang anak manakala di India menjalankan dasar pemandulan terutama di kalangan penduduk lelaki.

9               insentif kerajaan Malaysia antaranya ialah pemberian cuti bersalin yang lebih panjang kepada ibu bersalin (6090 hari), dasar rebat percukaian ke atas bilangan anak dan skim rawatan percuma kepada ibu mengandung turut mempengaruhi kadar kelahiran yang tinggi.

10           Amalan perancangan keluarga mempengaruhi kadar kelahiran menjadi lebih kecil apabila penduduk menggunakan kaedah penjarakan anak melalui penggunaan ubatan dan alat pencegahan kehamilan. Contohnya seperti pil perancang kehamilan, kondom, mengikat rahim (bilateral tubal ligation), IUD (intrauterine device) dan lain-lain. Amalan perancangan keluarga ini kebanyakannya diamalkan di negara maju. Perancangan keluarga kadang-kadang tidak begitu berjaya di sesetengah negara yang mengharamkan pengguguran janin serta halangan agama dan adat di samping kos yang tinggi terutama di negara sedang membangun.

11           Kemajuan teknologi dalam perubatan mampu memberi rawatan yang terbaik kepada pesakit. Ubat-ubatan yang moden mampu menyembuhkan penyakit dan dapat mengurangkan kadar kematian ibu dan anak ketika bersalin.

12           Teknologi dan peralatan moden untuk ibu-ibu bersalin pula memudahkan kelahiran anak. Teknologi dan alatan moden yang terdapat di bahagian obstetrik dan ginekologi (O&G), pediatrik, radioterapi, neurologi dan ortopedik juga diperluaskan untuk mengesan dan merawat pelbagai penyakit.

13           Amalan pemakanan yang sihat dan sempurna juga mempengaruhi kadar kelahiran. Bekalan makanan yang mencukupi serta berkhasiat adalah penting untuk ibu-ibu mengandung dan bayi yang bakal dilahirkan hidup.



Faktor-faktor yang Mempengaruhi Kadar Kematian




1               Kadar kematian ialah bilangan penduduk yang mati berbanding dengan jumlah penduduk pada tahun berkenaan bagi setiap 1 000 orang. Contohnya, pada tahun 1980 Sweden dan Jepun mencatatkan kadar kematian bayi yang rendah di dunia, iaitu 8.0 orang/1 000 bagi setiap kelahiran, manakala di Afghanistan, iaitu 22.6 orang/1 000 kelahiran.

2               Antara faktor yang mempengaruhi kadar kematian (terutamanya bayi) ialah:

(a)          pemakanan yang kurang berkhasiat atau zat yang tidak mencukupi

(b)          taraf kesihatan yang rendah terutama penduduk miskin yang tinggal di kawasan luar bandar

(c)          kekurangan kemudahan perubatan dan kawalan kebersihan di rumah dan persekitarankemiskinan dan taraf hidup yang rendah menyukarkan penduduk mendapatkan kemudahan rawatan kerana kos yang tinggi

(d)          perang, bencana alam, wabak penyakit boleh menyebabkan kematian penduduk yang ramai.

3               Berikut ialah langkah-langkah mengurangkan kadar kematian di Malaysia:

(a)               pendidikan kesihatan terutamanya kepada ibu mengandung

(b)              pendidikan mengenai pemakanan seimbang dan berkhasiat

(c)               pemberian susu kotak dan makanan percuma (rancangan makanan tambahan) di sekolah

(d)              mengurangkan penggunaan gula dalam minuman dan makanan

(e)               kempen larangan merokok dan kempen antidadah

(f)                menyediakan bekalan air bersih terutama di kawasan luar bandar

(g)              kaedah pembuangan najis dan pelupusan sampah yang bersistematik dan moden

(h)              pencegahan wabak penyakit seperti pembersihan tempat pembiakan nyamuk Aedes dan Iain-lain penyakit bawaan vektor

(i)                perkhidmatan perubatan moden, menambah bilangan doktor dan jururawat, hospital dan klinik yang lengkap dengan peralatan moden dan perkhidmatan klinik bergerak di kawasan pedalaman.

Migrasi




1               Migrasi juga adalah salah satu lagi faktor yang mempengaruhi perubahan bilangan penduduk. Migrasi masuk (imigrasi) penduduk ke sesuatu kawasan akan meningkatkan jumlah penduduk, sementara migrasi keluar (emigrasi) akan mengurangkan penduduk.

2               Terdapat lebih kurang 780 000 rakyat Malaysia menetap dan berhijrah ke Australia. Malaysia pula menjadi tumpuan penduduk Indonesia, Filipina, Bangladesh, Myanmar dan Iain-lain yang berada di Malaysia.



Dasar Kerajaan




1               Kerajaan sesebuah negara banyak mempengaruhi kadar kelahiran seperti kerajaan China yang telah menetapkan sebuah keluarga hanya boleh mempunyai seorang anak sahaja. Pada tahun 1970-an, kerajaan Singapura juga menetapkan sebuah keluarga hanya boleh mempunyai dua orang anak sahaja. Jika keluarga mempunyai lebih daripada dua anak, keluarga tersebut terpaksa menanggung segala kos pendidikan dan sara hidup anak tersebut.

2               Kerajaan Malaysia pula menggunakan polisi cukai, iaitu rebat cukai per kepala dilakukan ke atas ketua keluarga bergaji tetap yang menanggung sebilangan anak di bawah tanggungan mereka. Cuti bersalin yang agak panjang (30-90 hari) juga diberikan kepada ibu yang bersalin untuk menjaga anak yang masih kecil.

Demografi Kependudukan




1.           Demografi ialah kajian mengenai keadaan penduduk. la mengkaji hal-hal yang berkaitan dengan penduduk termasuk saiz dan jumlah penduduk, perubahan-perubahan yang berlaku dalam penduduk, sebab musabab perubahan terjadi dan kesan perubahan pada masa akan datang.

2             Secara khususnya, demografi ialah:

(a)          pertumbuhan saiz penduduk di seluruh dunia (kadar kelahiran dan kematian)

(b)          kadar kesuburan mempengaruhi keupayaan melahirkan dan mempunyai anak. Contohnya di Malaysia keupayaan seseorang ibu adalah boleh melahirkan seramai 6.6 orang anak

(c)          kadar kematian bayi, kanak-kanak dan ibu

(d)          jangka hayat penduduk yang dikaitkan dengan kesihatan dan proses penuaan penduduk

(e)          nisbah jantina, iaitu antara lelaki dan wanita di Malaysia ialah 106:100. Bilangan lelaki lebih ramai berbanding perempuan

(f)           piramid umur jantina. la penting kepada kerajaan sebagai petunjuk untuk menyediakan kemudahan kepada golongan yang berkaitan.







Masalah Kependudukan



Lebihan Penduduk di Negara Sedang Membangun




1               Lebihan penduduk bermaksud kadar pertumbuhan penduduk melebihi pengeluaran sumber alam. Lebihan penduduk berlaku disebabkan oleh beberapa faktor seperti bilangan penduduk yang bertambah, sumber alam yang semakin berkurangan dan berlakunya permintaan untuk tenaga buruh yang tinggi.

2               Pertambahan penduduk yang pesat membebankan kerajaan serta golongan dewasa kerana terpaksa menanggung golongan yang lebih muda dan tua.

3               Pengangguran tinggi kerana peluang pekerjaan terhad dan berlaku persaingan untuk mendapatkan pekerjaan terutamanya pekerjaan kolar biru.

4               Menimbulkan masalah perumahan dan kesihatan. Penduduk tiada tempat tinggal dan terpaksa tinggal di kawasan setinggan (squatter) yang kotor, kurang kemudahan asas dan boleh menjejaskan kesihatan.

5               Masalah kemiskinan tinggi apabila peluang pekerjaan terhad.

6               Kadar buta huruf yang tinggi boleh membantutkan usaha kerajaan dalam penyebaran dan pembauran inovasi. Golongan buta huruf lambat menerima pembaharuan.

7               Masalah kekurangan bekalan makanan dan kebuluran yang mengancam nyawa.

8               Tekanan ke atas sumber-sumber semula jadi seperti tanah, galian, tumbuhan yang menyebabkan berlakunya kemerosotan kualiti alam sekitar, kerosakan dan kepupusan biodiversiti, hakisan dan runtuhan tanah serta peningkatan suhu.

9               Kehabisan dan kepupusan sumber akibat eksploitasi berlebihan menyebabkan kehilangan pekerjaan dan mengurangkan pendapatan negara.

10           Kekurangan kemudahan asas terutamanya sistem pengangkutan, kesihatan dan pendidikan yang sempurna menyebabkan penduduk luar bandar ketinggalan dalam arus pembangunan negara.



Kurang Penduduk




Penduduk yang mendiami sesuatu kawasan adalah sedikit berbanding saiz kawasan, negeri dan negara yang luas. Sumber alam seperti mineral, tanah dan kekayaan lain juga banyak tetapi tidak dieksploitasi secara maksimum yang menyebabkan pembaziran. Pertumbuhan ekonomi yang lambat serta sektor kritikal tidak berkembang kerana masalah kekurangan tenaga kerja atau penduduk. Contoh negara kurang penduduk ialah seperti Kanada, Australia, New Zealand, Malaysia dan Singapura.



Penuaan Penduduk




1               Penuaan penduduk bermaksud penduduk menjadi tua. la berkaitan dengan jangka hayat, iaitu umur boleh hidup penduduk bermula daripada masa lahir sehingga saat kematian. Di Malaysia, jangka hayat penduduk adalah di antara umur 65 hingga 75 tahun manakala di Jepun antara 75 hingga 85 tahun.

2               Penduduk tua dunia telah meningkat dengan mendadak daripada 131 juta pada tahun 1950 kepada 469 juta pada tahun 2000. Anggaran penduduk tua pada tahun 2025 ialah 813 juta orang. Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (2005), pada tahun 1991 jumlah penduduk tua ialah 679 600 orang dan telah meningkat kepada 900 600 orang pada tahun 2000.

3               Penduduk tua dapat digolongkan kepada tiga kumpulan. Pertama, individu yang sihat yang dapat menjaga dirinya dan memerlukan penjagaan kesihatan yang minimum. Kedua, individu yang terhad aktivitinya dan mereka memerlukan bantuan untuk ke tandas, mandi dan makan. Ketiga, individu yang sangat memerlukan penjagaan kesihatan dan rawatan perubatan seperti memberi suntikan, membuang air kecil dan makan menggunakan tiub. Kumpulan ketiga ini kebanyakannya yang terlantar di atas katil (bedridden).

4               Proses penuaan penduduk memberi kesan terhadap ciri demografi dan status sosioekonomi di sesebuah negara seperti perubahan komposisi umur (golongan tua bertambah), bekalan tenaga buruh berkurangan dan bebanan kepada kerajaan untuk membayar pencen dan penyediaan kemudahan percuma. Bagaimanapun, golongan lebih tua atau warga emas yang berpendidikan tinggi juga merupakan penyumbang idea kepada pembangunan negara kerana keintelektualan dan pengalaman mereka.

5               Ketidakseimbangan taburan penduduk disebabkan migrasi dari luar bandar ke bandar yang menyebabkan ketidakseimbangan pembangunan bandar dan luar bandar. Ketidakseimbangan pembangunan ini akan mewujudkan jurang yang luas dan menyebabkan kawasan luar bandar mundur.

6               Pencemaran alam sekitar, penduduk padat, kesesakan lalü lintas, tekanan perasaan dan masalah sosial seperti jenayah, pelacuran dan penyakit berjangkit akan berlaku apabila bilangan penduduk meningkat dengan pesat.



Model Peralihan Demografi




1.             Model peralihan demografi adalah model dalam bentuk graf garis yang diasaskan untuk menerangkan tentang perubahan atau transisi penduduk mengikut tempoh tertentu tentang kadar kelahiran, kadar kematian dan dipertumbuhan penduduk keseluruhan daripada masa lalü hingga sekarang. Peralihan yang berlaku adalah secara berperingkat-peringkat.

2               Terdapat empat tahap atau peringkat peralihan demografi, iaitu:

(a)          tahap I (tetap tinggi) di mana kadar kelahiran dan kematian adalah tinggi

(b)          tahap II (pengembangan awal) di mana kadar kelahiran kekal atau tetap tinggi dan kematian menurun sedikit

(c)          tahap III (pengembangan akhir) menerangkan kadar kelahiran menurun ya

(d)          tahap IV (tetap rendah) di mana kadar kelahiran dan kadar kematian rendah.



Ciri Penduduk dalam Konteks Model Peralihan Demografi Negara Sedang Membangun




1        Kadar pertumbuhan meningkat disebabkan kadar kelahiran tinggi dan kadar kematian menurun. Migrasi penduduk berlaku dengan pesat terutamanya migrasi antara bandar ke bandar dan migrasi luar bandar ke bandar.

2        Kadar kelahiran terutamanya bayi dan bilangan kanak-kanak meningkat. Faktor yang menyebabkan kadar kelahiran meningkat ialah kerana kemudahan perubatan moden, pemakanan seimbang dan berkhasiat serta taraf sosioekonomi penduduk yang semakin meningkat.

3        Kadar kematian telah menurun kerana teknologi perubatan semakin majü dan kes kematian semasa bersalin jarang berlaku dan berkurangan. Peperangan yang melibatkan kematian yang beÅŸar sudah berkurang kecuali di beberapa buah negara Timur Tengah yang masih dalam konflik perang saudara.

4        Kebuluran (malnutrition) yang dihadapi oleh penduduk seperti di Sudan, Chad dan Somalia telah berkurang dengan banyak. Tanaman yang ditanam menjadi maka sumber makanan mencukupi jika tidak berlaku bencana alam seperti kemarau panjang dan kemusnahan kawasan pertanian akibat cuaca yang melampau.

5        Jangka hayat penduduk semakin meningkat. Hal ini adalah kerana kaedah rawatan dan penjagaan kesihatan yang baik. Peningkatan dalam penjagaan kesihatan dan penemuan kaedah rawatan moden terutama bagi golongan tua mempengaruhi pemanjangan jangka hayat seseorang






Piramid Penduduk




1               Piramid penduduk ialah gambaran berdasarkan sebuah graf yang menunjukkan struktur penduduk mengikut umur dan jantina di sesebuah negara. Sesebuah graf piramid penduduk boleh menggambarkan ciri-ciri demografi, kependudukan dan sosioekonomi penduduk sesebuah negara seperti:

(a)          Ciri kadar kelahiran, kadar kematian dan kadar pertumbuhan penduduk semula jadi

(b)          Komposisi jantina penduduk

(c)          Jangka hayat penduduk yang semakin meningkat

(d)          Nisbah tanggungan golongan bekerja tinggi

(e)          Tahap kemajuan dan pembangunan ekonomi yang pesat

(f)           Taraf sosial (taraf kesihatan, taraf pendidikan, pemakanan, status sosial dalam masyarakat).

2               Bentuk piramid penduduk boleh dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu:

(a)          Piramid progresif dengan tapak lebar, puncak tajam, cerun landai mewakili negara sedang membangun di Asia Tenggara kecuali Singapura

(b)          Piramid regresif atau peralihan atau perantara yang mempunyai puncak lebar, cerun cembung mewakili negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Perancis, Singapura dan lain-lain lagi.

(c)          Piramid mantap atau stabil yang mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan piramid progresif mewakili negara Jepun dan Sweden.

3               Ketiga-tiga bentuk piramid di atas berbeza dari segi tapak, kecerunan dan puncaknya yang menunjukkan ciriciri demografi yang berbeza. Piramid penduduk sesebuah negara berkait rapat dengan transisi demografi yang dialami oleh negara tersebut serta menggambarkan tahap pembangunan ekonomi dan sosial yang dialami oleh sesebuah negara. Perancangan atau program pembangunan kerajaan berkaitan penduduk dilakukan berdasarkan gambaran daripada graf piramid penduduk tersebut.




 


Kesan Pertumbuhan Penduduk Dunia dan di Malaysia


1               Pertumbuhan penduduk dapat dikelaskan kepada pertumbuhan yang pesat, sederhana, perlahan dan negatif atau sifar.

2               Kepesatan atau kesederhanaan pertumbuhan penduduk boleh memberi kesan serta mempengaruhi ciri sosioekonomi dan demografi sesebuah negara terutama bila dibandingkan antara negara maju dengan negara sedang membangun.

3               Kesan terhadap ciri sosioekonomi adalah berkaitan dengan keadaan kemiskinan, pengangguran, taraf hidup yang rendah serta sumber alam sesebuah negara. Manakala kesan ke atas ciri demografi dikaitkan dengan kadar kelahiran, kadar kematian, struktur umur dan jantina, nisbah tanggungan dan jangka hayat penduduk.

4               Bilangan penduduk yang ramai menyebabkan berlaku persaingan pekerjaan. Untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai mereka mesti mempunyai kelayakan akademik yang baik untuk memasuki pasaran pekerjaan. Bagi penduduk yang tidak mempunyai pendidikan yang baik atau tidak berpengalaman, peluang untuk mendapatkan pekerjaan adalah sukar. Kadar pengangguran yang tinggi akan menimbulkan banyak masalah sosial.

5               Masalah sosial seperti jenayah rompak, ragut dan keruntuhan moral akan berlaku dan sukar dibendung. Ini boleh mengancam keselamatan penduduk Iain dan juga kesejahteraan negara.

6               Kemiskinan juga akan berlaku apabila penduduk ramai dan tiada kerja tetap atau menganggur. Ketua keluarga yang tidak bekerja atau yang bergaji rendah dengan saiz keluarga besar akan mewariskan kemiskinan itu kepada anak-anak mereka. Kemiskinan penduduk bandar juga ber'aku di kalangan pekerja bawahan atau buruh kasar kerana kadar upah yang rendah tetapi terpaksa menanggung kos sara hidup yang tinggi.

7               Pertumbuhan penduduk yang pesat juga memberi kesan terhadap sumber alam. Persaingan guna tanah untuk petempatan, perindustrian, pembandaran, infrastruktur, pertanian dan sebagainya akan meningkat bagi menampung bilangan penduduk yang ramai. Ini akan menyebabkan sai7 tanah secara relatifnya semakin sempit dan tidak ekonomik. Harga tanah menjadi sangat mahal.

8               Kerosakan dan kemusnahan sumber alam akan berlaku dengan berleluasa bila penduduk yang ramai mengeksploitasi sumber alam tanpa kawalan. Kerja pemotongan tanah, cerun bukit untuk kediaman akan menyebabkan hakisan, tanah runtuh dan mendap selain gondol. Sumber airjuga akan terjejas apabila kawasan tadahan hujan musnah oleh tindakan manusia membersihkan hutan. la boleh menyebabkan dan mempercepatkan berlakunya banjir.

9               Pencemaran juga akan banyak berlaku akibat tindakan manusia. Pencemaran udara dan jerebu berlaku apabila penduduk membina kilang dan menggunakan kenderaan. Gas karbon monoksida dan sulfur dioksida dari kilang dan kenderaan adalah punca pencemaran berlaku. Pencemaran sampah sarap atau persekitaran berlaku dari sikap penduduk yang membuang sampah di merata tempat atau ke dalam sungai.

10           Penduduk yang ramai sebaliknya dapat menyumbang kepada pembangunan sumber alam. Sumber alam telah dapat dieksploitasi dan dimajukan dan tidak dibiarkan membazir. Tanah terbiar telah diusahakan untuk pertanian komersial. Tanah paya, tanah bekas lombong dan pinggir laut ditebus guna untuk dijadikan kawasan pertanian, perindustrian dan petempatan.

11           Penduduk yang ramai juga merupakan pasaran tersedia barangan dan perkhidmatan yang besar dan luas. Permintaan yang tinggi daripada penduduk terhadap barangan keperluan mempengaruhi aktiviti pemprosesan dan pengeluaran. Seterusnya, produk sumber yang ada boleh dipelbagaikan.






Migrasi Penduduk



Migrasi




1               Migrasi ialah penghijrahan atau perpindahan penduduk dari satu tempat ke tempat baharu kerana terdapatnya tanah, pekerjaan, harapan menjadi kaya, tolak ansur agama, kebebasan politik dan penghijrahan paksa.

2               Terdapat banyak faktor yang menyebabkan mengapa manusia berhijrah. Antaranya seperti ekonomi, sosial dan politik.

3               Migran merujuk kepada orang yang berhijrah.

4               Imigran merujuk kepada penduduk yang berpindah masuk ke sesebuah negara atau tempat bagi tujuan tertentu dan tempoh tertentu.

5               Emigran merujuk kepada penduduk yang berpindah keluar dari sebuah negara atau tempat untuk mengubah nasib dan mengubah keadaan hidup di tempat baharu.

6               Penghijrahan yang berlaku di dalam sesebuah negara disebut migrasi dalaman.

7               Jika penduduk yang berhijrah merentasi sempadan antara dua negara atau antara benua, maka ia disebut migrasi antarabangsa.

8               Migrasi melibatkan migrasi kekal, sementara dan bermusim. Migrasi menpengaruhi perubahan bilangan penduduk sesebuah negara, iaitu migrasi masuk akan meningkatkan jumlah penduduk dan migrasi keluar akan mengurangkan jumlah penduduk.



Jenis-jenis Migrasi



Migrasi Dalaman




1               Migrasi dalaman hanya berlaku di dalam sesebuah negara sahaja dan tidak melibatkan sempadan antarabangsa.

2               Terdapat beberapa jenis migrasi dalaman atau arah aliran migrasi dalaman, iaitu dari mana ke mana penduduk itu berhijrah.

3               Arah aliran migrasi dalaman ialah seperti dari luar bandar ke bandar, dari luar bandar ke luar bandar, dari bandar ke luar bandar dan dari bandar ke bandar yang lain. Komposisi aliran migrasi penduduk berkaitan jantina, umur dan taraf pendidikan penduduk.

4               Golongan migrasi di Malaysia terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Kebanyakan mereka adalah lepasan sekolah sehingga yang mempunyai ijazah. Mereka adalah golongan remaja, belia dan dewasa. Golongan tua merupakan kumpulan umur yang kurang melakukan migrasi.

5               Migrasi dalaman di Malaysia umumnya berlaku secara sukarela. Migrasi ini biasanya berlaku dalam keadaankeadaan tertentu berikutan dengan perubahan dan perkembangan dari segi ekonomi, sosial, politik dan demografi. Peluang pekerjaan yang terhad serta bermusim di luar bandar menyebabkan penduduk muda berhijrah ke bandar.



Migrasi Luar Bandar ke Bandar




1               Penduduk dari kawasan luar bandar dari negeri-negeri pantai timur dan utara di Malaysia telah berhijrah ke bandar-bandar besar dan sederhana utama seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam, Georgetown, Seberang Prai, Ipoh dan Johor Bahru. Manakala penduduk luar bandar Sabah dan Sarawak pula ke Kota Kinabalu dan Kuching atau ke Kuala Lumpur.

2               Sebab utama mengapa penduduk luar bandar berhijrah ke bandar ialah kerana tarikan ekonomi di samping pelbagai kemudahan yang dapat menarik penduduk seperti kemudahan pendidikan, kesihatan, hiburan, rekreasi, pusat beli-belah dan lain-lain seperti sistem pengangkutan awam yang cekap dan pelbagai.

3               Banyak peluang pekerjaan ditawarkan di dalam sektor perkhidmatan, perniagaan dan perindustrian di bandar-bandar besar. Gaji yang tinggi juga menarik penduduk ke bandar besar seperti di Kuala Lumpur dan Selangor.

4               Pola aliran migrasi luar bandar ke bandar yang berlaku di Malaysia melibatkan golongan muda atau belia dan dewasa. Migrasi jenis ini merupakan aliran migrasi dalaman yang terbesar.



Migrasi Luar Bandar ke Luar Bandar




1               Migrasi luar bandar ke luar bandar di Malaysia biasanya dirancang oleh kerajaan. Dasar pembangunan tanah dan pembangunan wilayah adalah untuk memajukan wilayah mundur dan meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar terutama golongan yang tidak bertanah.

2               Agensi yang menyelaras perpindahan penduduk akan menyediakan kawasan petempatan yang terancang dengan dibekalkan 10 ekar tanah untuk diusahakan seperti menanam tanaman getah dan kelapa sawit.

3               Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan Lembaga Kemajuan Tanah Sabah (SLDA) adalah antara agensi pembangunan tanah yang menyediakan kemudahan untuk golongan penduduk luar bandar atau peneroka yang berpindah dari kawasan luar bandar seluruh Malaysia terutamanya bagi penduduk yang miskin, menganggur dan tidak memiliki tanah.

4               Pada tahun 1990 sahaja, FELDA telah menempatkan sejumlah 119 300 orang peneroka atau peserta rancangan di kawasan pembangunan tanah tersebut dengan jumlah keseluruhan penduduk terlibat adalah seramai 750 000 orang.

5               Pada zaman darurat dan ancaman komunis pada tahun 1960-an hingga 1970-an, kerajaan telah memindahkan penduduk di beberapa petempatan atau kampung yang terpencil di luar bandar, kaki bukit dan tepi hutan untuk mengekang pengaruh komunis dan menjaga keselamatan penduduk.

6               Penduduk tersebut ditempatkan di petempatan baharu dikenali sebagai kampung baru seperti di Gerik, Gua Musang, Kepong dan Mentakab.



Migrasi Bandar ke Bandar




1               Migrasi antara bandar banyak berlaku di Malaysia seperti dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu, Kuantan ke  Kuala Lumpur, Kota Bharu ke Shah Alam dan sebagainya.

2               Migrasi seperti ini banyak berlaku di kalangan pekerja ikhtisas, pekerja kilang dan pegawai kerajaan yang bertukar tempat kerja atau mendapat kerja yang lebih baik. Manakala peniaga atau pengusaha akan berpindah ke bandar kerana membuka cawangan baru di bandar yang lebih besar dan berdaya saing.

3               Penduduk terutama pelajar dari bandar kecil juga berpindah ke bandar untuk melanjutkan pelajaran di bandar besar yang mempunyai pelbagai institusi pendidikan tinggi. Contohnya, dari Bachok, Kelantan ke USM di Pulau Pinang.

4               Hukum migrasi seperti step Wise menerangkan migrasi bandar ke bandar juga berlaku secara berperingkatperingkat, iaitu dari bandar kecil ke bandar sederhana, dari bandar sederhana ke bandar besar dan dari bandar besar ke bandar metropolis. Peluang ekonomi dan sosial yang lebih baik mempengaruhi migrasi bandar ke bandar.



Migrasi Bandar ke Luar Bandar




1               Bagi penduduk Malaysia, migrasi bandar ke luar bandar atau desa jarang atau tidak banyak berlaku sehingga boleh menimbulkan kesan besar di kawasan yang dituju.

2               Migrasi ini berlaku apabila pekerja atau penjawat awam yang bersara atau tamat tempoh perkhidmatan berpindah ke luar bandar kerana mereka mempunyai rumah sendiri yang berdekatan dengan bandar tersebut. la juga dikenali sebagai retirement migration.

3               Kebanyakan pesara profesional pula memilih kawasan luar kota atau di tepi-tepi pantai yang jauh dari kesibukan seperti di sepanjang pantai negeri Terengganu dan Kelantan.

4               Migrasi bandar ke luar bandar juga berlaku apabila kerajaan melalui dasar penyelerakan industri ke luar bandar untuk tujuan menyeimbangkan pembangunan dan kemajuan bandar-luar bandar dan rancangan koridor pembangunan ekonomi SCORE, NCER dan ECER di bawah program transformasi luar bandar. la secara tidak langsung melibatkan pertukaran dan petempatan pegawai dan kaki tangan ke kawasan pembangunan luar bandar tersebut.



Transmigrasi




1               Transmigrasi adalah satu rancangan pemindahan penduduk secara besar-besaran merentas sempadan pulaupulau dan lautan yang dirancang oleh kerajaan Indonesia.

2               Tidak ada rancangan transmigrasi di negara Iain selain daripada yang telah dijalankan di Indonesia sejak tahun 1970 hingga 1980-an melalui Rancangan Pembangunan Lima Tahun (REPELITA) mereka.

3               Apa yang dilakukan ialah memindahkan penduduk yang sangat padat di Pulau Jawa ke Pulau Sumatera dan Pulau Borneo (Kalimantan).

4               Dalam tempoh 10 tahun kerajaan Indonesia telah memindahkan seramai 3.4 juta penduduk Pulau Jawa ke pulau-pulau Iain.

5               Selain untuk mengurangkan tekanan penduduk di Pulau Jawa, transmigrasi juga bertujuan menyediakan tenaga buruh untuk memajukan ladang-ladang getah, kelapa sawit, lada hitam, lombong arang batu, bijih timah dan petroleum di Sulawesi, Kalimantan dan Pulau Sumatera.



Jadual 1 Aliran migrasi Malaysia pada tahun 2000

Jenis Aliran
Tahun 2000
Bandar ke bandar
Bandar ke luar bandar
Luar bandar ke bandar
Luar bandar ke luar bandar
63.2 0/0
9.2 0/0
176%
10.0 36
Bilangan Migran
3 328 485 juta orang

 


Faktor-faktor yang Mempengaruhi Migrasi Dalaman




1               Secara umumnya terdapat tiga faktor utama yang mempengaruhi migrasi, iaitu faktor tarikan di kawasan yang dituju, faktor tolakan di kawasan asal serta dasar kerajaan.

2               Faktor tarikan merujuk kepada keadaan dan peluang ekonomi, sosial dan situasi politik yang menggalakkan penduduk berhijrah masuk ke tempat baharu. Itu semua termasuk tujuan untuk mencari pekerjaan yang sesuai dan upah yang tinggi. Tujuan mengubah kehidupan juga merupakan hasrat utama berhijrah.

3               Penduduk juga berhijrah untuk menikmati kemudahan sosial yang tersedia seperti rekreasi, hiburan, khidmat kewangan, pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan Iain-Iain.

4               Faktor tolakan di tempat asal adalah seperti punca pendapatan yang tidak tetap, kemiskinan tegar, kekurangan dan persaingan pekerjaan, kekurangan peluang ekonomi, perang saudara dan bencana alam.



Faktor Tarikan (Ekonomi)




1               Terdapat banyak peluang pekerjaan dengan gaji yang tinggi telah menarik ramai golongan muda dan dewasa berhijrah ke bandar-bandar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Georgetown dan sebagainya.

2               Faktor gaji yang tinggi, tetap dan menokok berserta bonus dan elaun sara hidup di samping keadaan dan suasana tempat kerja yang kondusif sangat menarik golongan muda berhijrah ke bandar.

3               Bagi penduduk yang tidak mempunyai tanah, mereka akan berhijrah ke kawasan pembangunan tanah baharu FELDA, KESEDAR, KEJORA dan Iain-Iain dengan tujuan untuk menyara kehidupan diri dan keluarga.



Faktor Tarikan (Sosial)




1               Penduduk terutamanya golongan muda atau pelajar akan memilih bandar besar yang menyediakan institusi pendidikan tinggi dan kemahiran seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Putra Malaysia di Kuala Lumpur, Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang, Universiti Teknologi Malaysia di Johor Bahru sebagai destinasi melanjutkan pelajaran dan memperkembangkan kemahiran.

2               Kemudahan pengangkutan yang cekap seperti perkhidmatan bas, teksi dan sistem rel dalam bandar mempengaruhi pergerakan dan ketersampaian penduduk luar berhijrah ke bandar-bandar dengan cepat, selesa dan boleh sampai ke pelbagai tempat dengan mudah.

3               Kemudahan dan perkhidmatan bandar seperti pusat membeli-belah, tempat rekreasi, pusat perkhidmatan dan perniagaan telah menarik golongan tertentu berhijrah. Bagi golongan profesional, peniaga atau pengusaha, bandar merupakan tempat sesuai untuk membuka gedung perniagaan kerana kemudahan infrastruktur yang tersedia di samping saiz pasaran yang cukup besar.



Faktor Tolakan (Ekonomi)



1               Di kawasan luar bandar, penduduk sangat bergantung kepada sektor ekonomi pertanian. Ini menyebabkan penduduk menghadapi masalah pendapatan yang tidak tetap. Peluang pekerjaan yang terhad menyebabkan mereka terpaksa bersaing dengan kadar upah yang rendah menekan kehidupan mereka. Mereka keluar mencari rezeki di bandar atau tempat yang menawarkan gaji yang lebih baik.

2               Peluang pekerjaan yang sedikit berbanding dengan bilangan penduduk yang ramai di luar bandar menyebabkan lebihan tenaga kerja. Kadar pengangguran tinggi di luar bandar kerana persaingan untuk mendapatkan kerja.



Faktor Tolakan (Sosial)



1               Kurangnya pusat pendidikan seperti kolej dan universiti di luar bandar menyebabkan golongan lepasan SPM, STPM dan kolej berhijrah ke bandar untuk melanjutkan pelajaran. Kebanyakan kolej dan universiti terletak di bandar.

2               Golongan muda dan belia banyak berhijrah ke bandar kerana bekerja. Di samping itu juga, mereka tertarik untuk tinggal di bandar kerana terdapat banyak kemudahan yang disediakan seperti pusat membeli-belah dan sebagainya.



Faktor Dasar Kerajaan




1               Kerajaan memainkan peranan penting dan sangat mempengaruhi penghijrahan penduduk ke sesebuah tempat atau kawasan.

2               Perancangan kerajaan dengan membuka kawasan tanah-tanah baharu di bawah program pembangunan tanah dan pembangunan wilayah untuk menyeimbangkan pembangunan dan memajukan kawasan luar bandar telah menarik ramai penduduk menjadi peneroka di kawasan tanah rancangan.

3               Usaha kerajaan menyelerakkan kawasan perindustrian ke kawasan kurang maju di pinggir bandar dan membuka bandar-bandar baharu juga telah menyebabkan penduduk berhijrah ke kawasan perindustrian baharu itu secara beramai-ramai terutamanya golongan profesional muda. la secara tidak langsung mengembangkan rantaian ekonomi berkaitan dan sekali gus menarik golongan penduduk yang Iain.





Migrasi Antarabangsa




1        Migrasi antarabangsa merupakan perpindahan atau penghijrahan penduduk dari sebuah negara ke negara Iain dan melintasi sempadan negara atau antarabangsa. Migrasi ini bersifat sama ada kekal, sementara atau bermusim untuk tujuan tertentu seperti bekerja, berniaga dan meningkatkan taraf hidup.

2        Sempadan antarabangsa boleh dikategorikan dengan laut yang luas, sebuah banjaran gunung, kawasan padang pasir, pagar yang tinggi dan utuh atau sebatang sungai seperti Sungai Golok yang menyempadani Malaysia dengan Thailand dalam jarak yang sangat dekat. Ada juga migran yang terpaksa berpindah untuk mencari perlindungan politik seperti yang berlaku kepada penduduk di negara yang sering dilanda krisis seperti pembersihan etnik dan agama di Myanmar (Burma) dan Kashmir. Pada tahun 2000, terdapat hampir 16 juta orang penghijrah politik (pelarian) atau 9% daripada jumlah migran antarabangsa.

3        Pada November 2014, menurut Pelan Tindakan Negeri Rakhine, kerajaan Myanmar akan mengusir lebih kurang 1 juta orang penduduk Rohingya jika mereka tidak dapat membuktikan keluarga mereka telah tinggal lebih 60 tahun di sana.

4        Terdapat dua aliran migrasi antarabangsa, iaitu yang melibatkan perpindahan antara sempadan dua buah negara dan juga yang melibatkan perpindahan penduduk antara benua.

5        Contoh migrasi antara negara ialah seperti penghijrahan penduduk Indonesia, Filipina, Bangladesh, Myanmar dan Nepal ke Malaysia. Terdapat lebih kurang 780 000 rakyat Malaysia menetap dan berhijrah ke Australia.

6        Contoh migrasi antara benua ialah penduduk dari benua Asia telah berhijrah ke benua Eropah, benua Asia ke benua Amerika Utara, benua Afrika ke Amerika Utara, benua Amerika Selatan ke Amerika Utara dan Iain-Iain.

7        Sejarah migrasi dan tujuannya (tahun1950-an hingga 1960-an):

(a)   Dari Eropah ke benua Amerika Utara. Penghijrahan ini disebabkan oleh sumber galian emas, menyebar agama, meningkatkan taraf hidup, mencari peluang pekerjaan dan tanah pertanian.

(b)   Dari Eropah ke benua Asia yang bertujuan meluaskan tanah jajahan, iaitu penjajahan Inggeris di Tanah Melayu, penjajahan Belanda di Indonesia dan Perancis di Indo-China.

(c)   Perang saudara yang berlaku di Zaire, Congo, Angola dan Iain-Iain telah menyebabkan rakyat lari atau berpindah ke negara Iain sebagai pelarian.



Faktor-faktor yang Mempengaruhi Migrasi Antarabangsa




1                Faktor ekonomi adalah motif utama migrasi ini. Penduduk akan keluar untuk mendapatkan pekerjaan dan perniagaan yang banyak terdapat di sektor pertanian, perkilangan, perusahaan teknologi tinggi dan pembinaan di negara Iain. Gaji atau upah yang tinggi berbanding di negara asal sangat menarik penduduk Indonesia, Bangladesh dan Nepal bekerja di Malaysia terutamanya di sektor kritikal seperti perladangan dan pembinaan sebagai buruh kontrak. Manakala pekerja dari Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Australia dan India terdiri daripada pekerja ikhtisas.

2                Kerajaan Malaysia atas permintaan kerajaan Bangladesh dan Indonesia telah memudahkan dan menggalakkan kemasukan buruh dari Bangladesh dan Indonesia dengan memudahkan urusan pengeluaran permit kerja dan Visa untuk memenuhi pekerjaan di sektor binaan, perladangan, pekerja pusat beli-belah, pembantu stesen minyak dan Iain-Iain.

3                Kerajaan Malaysia juga menggalakkan supaya rakyat Malaysia dapat berhijrah ke luar negara terutama ke negara-negara maju untuk melanjutkan pelajaran dan mempelajari kemahiran bidang teknikal dan profesional yang lebih tinggi.

4                Keadaan geopolitik sesebuah negara yang stabil atau porak-peranda juga menggalakkan berlakunya pergerakan masuk dan keluar migran. Malaysia telah bebas daripada ancaman pengaruh komunis pada tahun 1980-an dan tidak wujud lagi unsur-unsur yang boleh mengancam keselamatan negara selepas itu. Hal ini menyebabkan negara lebih selamat dan terjamin untuk para imigran.

5                Mengikut PBB ancaman pembersihan agama dan etnik di Rakhine, Myanmar telah menyebabkan hampir 1.3 juta penduduk asal, iaitu etnik Rohingya terpaksa berhijrah ke Thailand dan seterusnya ke Malaysia.

6                Bencana alam seperti gempa bumi, letusan gunung berapi, tsunami, banjir dan ribut taufan juga boleh menyebabkan keadaan sesebuah negara dalam keadaan huru-hara. Jadi bagi negara seperti Malaysia yang bebas daripada bencana alam tersebut pada tempoh yang panjang telah menarik ramai penduduk negara luar berhijrah dan mencari rezeki.



Jadual 2 Impak migrasi penduduk ke kawasan destinasi dan kawasan asal



Kawasan
Impak Positif
Impak Negatif
Kawasan destinasi atau kawasan yang dituju
·      Pertambahan tenaga kerja untuk menggerakkan pelbagai sektor ekonomi
·      Memajukan sumber ekonomi seperti tanah, mineral dan ekopelancongan
·      Berlaku pertambahan penduduk yang dapat memajukan sesebuah kawasan

·      Persaingan aktiviti ekonomi dengan penduduk tempatan dari segi ruang dan kawasan niaga seperti pasar malam, pasar tani, restoran dan sebagainya sehingga berlaku perbalahan

Kawasan
Impak Positif
Impak Negatif

·      Kemudahan sosial dan kemudahan asas disediakan untuk memenuhi keperluan penduduk Saiz pasaran domestik bertambah besar dan luas
·      Mempercepatkan proses urbanisasi
·      Migrasi masuk tenaga profesional dan berpendidikan tinggi bagi menggerakkan dan menjana pembangunan ekonomi di samping sikap positif yang boleh meningkatkan persaingan positif dengan penduduk tempatan

·      Persaingan dengan tenaga buruh tempatan yang menyebabkan buruh tempatan menganggur
·      Pengaliran keluar wang negara yang merugikan negara
·      Mewujudkan banyak masalah sosial dan budaya kuning seperti jenayah, budaya liar, keldai dadah dan perkahwinan tidak sah taraf di Sisi undang-undang
Kawasan asal atau negara asal migran
·      Penghantaran balik wang ke tempat asal atau negara asal. la boleh mengubah taraf hidup keluarga di kampung atau tanah air mereka
·      Mempelajari teknik dan teknologi dan membawa balik kemahiran ke tempat asal migran untuk dipraktikkan
·      Membawa balik idea-idea bernas ke tempat asal
·      Mengurangkan pengangguran dan tekanan ke atas sumber di negara asal

·      Pengaliran keluar ramai tenaga muda membantutkan pembangunan negara asal seperti kekurangan dari segi tenaga mahir
·      Mengubah gaya hidup dan sikap buruk yang ditiru di negara dituju



Penduduk dan Sumber Alam



Konsep dan Komponen Alam Sekitar



1               Alam sekitar terbahagi kepada dua, iaitu alam sekitar manusia dan alam sekitar fizikal. Alam sekitar manusia ialah alam sekitar yang dipengaruhi oleh tindakan dan campur tangan manusia di atas permukaan bumi seperti petempatan bandar dan luar bandar, jaringan dan rangkaian pengangkutan dan lain-lain seperti guna tanah pertanian, perindustrian, perlombongan serta pelancongan. Ia juga dikenali sebagai pandang darat budaya.

2               Alam sekitar fizikal merujuk kepada bentuk muka bumi (seperti gunung-ganang, bukit bukau, tanah tinggi, tanah rendah), saliran (sungai, paya, tasik, lautan), tumbuhan dan haiwan (flora dan fauna) serta lapisan udara. Alam sekitar fizikal juga dikenali sebagai pandang darat fizikal.

3               Alam sekitar fizikal ialah asas kepada sumber alam dan ia terbahagi kepada empat komponen atau sistem yang utama dan saling berinteraksi, iaitu:

(a)          biosfera (sistem ekologi)—la merupakan lapisan kerak bumi dan atmosfera yang menjadi komponen kehidupan kepada manusia, haiwan, tumbuhan dan mikroorganisma termasuklah bakteria, protozoa dan lain-lain. Ia bertindak sebagai pentas atau habitat kepada semua kehidupan di daratan, lautan dan di lapisan bawah atmosfera.

(b)          litosfera (sistem geomorfologi). Ia merupakan lapisan kerak bumi pejal yang membentuk kawasan benua dan pulau. Ia juga membentuk dasar laut. Di sini terdapatnya segala unsur tanih, batuan dan galian yang sangat bernilai. Proses luluhawa, hakisan, tanah runtuh, pengangkutan dan pemendapan adalah aktiviti alam yang berlaku di kawasan ini. Ia membentuk pandangan darat yang sangat kompleks.

(c)          hidrosfera (sistem hidrologi). Ia merupakan komponen bumi yang mengandungi air, iaitu air laut, sungai dan tasik. Air meliputi 70% daripada permukaan bumi. Air sangat penting kepada kehidupan. Krisis air boleh menyebabkan malapetaka. Lebihan air boleh menyebabkan banjir besar.

(d)          atmosfera (sistem atmosfera). Ia adalah lapisan udara dan gas yang menyelimuti bumi. Komponen atau lapisan udara membekalkan oksigen, karbon dioksida dan air hujan kepada kehidupan. Ia menjadi penebat bahangan bumi dan bahangan matahari, iaitu menyerap kedua-dua bahangan tersebut supaya suhu bumi sentiasa stabil. Ia juga melibatkan elemen di dalam iklim dan cuaca seperti kerpasan (hujan, kabus, salji) dan tekanan udara serta angin.



Alam Sekitar Fizikal Sebagai Sumber Alam



1               Sumber alam dimaksudkan sebagai apa-apa sahaja yang terdapat dalam alam sekitar semula jadi, berguna dan boleh digunakan oleh manusia dan memenuhi keperluan biologi mereka. Tahap penggunaannya pula berbeza-beza antara manusia kerana tingkat pengetahuan, teknologi, pengurusan stok dan kehendak serta keperluan hidup manusia yang berbeza di samping kuantiti dan kualiti sumber alam itu sendiri.

2               Manusia memerlukan sumber alam untuk kehidupan dan kemajuan sosioekonomi mereka.

3               Sumber alam terbahagi kepada dua jenis, iaitu sumber yang tidak boleh diperbaharui (akan habis) dan sumber yang boleh diperbaharui (tidak akan habis).

4               Contoh sumber alam yang tidak boleh diperbaharui seperti sumber kuasa (petroleum, gas asli dan arang batu) dan pelbagai jenis logam lain seperti bijih besi, bijih timah, emas dan nikel.

5               Sumber alam yang boleh diperbaharui wujud secara berterusan dan tidak akan pupus seperti ombak, air pasang surut, cahaya matahari, angin dan sumber yang boleh diganti seperti sumber tanah, hutan, padang rumput dan air.

6               Ringkasnya, sumber terdiri daripada pelbagai jenis, iaitu:

(a)          sumber mineral, iaitu logam dan bukan logam seperti bijih besi, bijih timah, batu permata, kuprum, raksa dan lain-lain

(b)          sumber hutan daripada jenis hutan tropika, hutan paya, hutan pantai dan sebagainya

(c)          sumber tenaga seperti petroleum, gas asli, arang batu, tenaga nuklear, tenaga biomas, tenaga suria dan lain-lain tenaga.

7               Manusia memerlukan sumber alam sebagai pentas dan landasan untuk menjalankan kehidupan dan pembangunan sosioekonomi. Mereka mengeksploitasi dan menggunakan segala elemen alam sekitar fizikal untuk menjalankan aktiviti ekonomi seperti pertanian, melombong, ekopelancongan, membalak dan membina petempatan serta pengangkutan secara meluas.

8               Sumber pekerjaan, peningkatan taraf hidup, pendapatan negara (KDNK), pembangunan kawasan atau kesan rantaian ekonomi yang berlaku hampir kesemuanya adalah berkait dengan jenis-jenis sumber alam yang ada.

9               Air sebagai satu unsur dalam persekitaran fizikal dianggap sangat penting kerana mempengaruhi kehidupan harian, aktiviti pertanian, penjanaan kuasa elektrik hidro, pertumbuhan pokok dan sebagainya.

10           Air daripada air hujan, air bawah tanah, sungai dan cairan salji penting untuk mengairi kawasan pertanian atau menjana tenaga elektrik. Air laut, sungai, tasik dan kolam adalah sumber alam yang sangat berguna. Air tawar bersih yang telah ditapis disalurkan untuk kegunaan domestik dan perindustrian.

11           Empangan air Sungai Muda (Rancangan Pengairan Sungai Muda) di Kedah adalah projek pengairan berimpak tinggi, iaitu ia boleh mengairi hampir seluruh kawasan tanaman padi di delta Kedah-Perlis (210 500 hektar).

12           Sebahagian besar negeri di Malaysia dikelilingi oleh air laut dan Pentas Sunda yang cetek dan mempunyai banyak ikan. Ikan juga banyak terdapat di sungai, kolam dan tasik. Kegiatan menangkap ikan dan memproses hasil ikan pula merupakan kegiatan utama penduduk di perkampungan nelayan.

13           Hutan penting sebagai kawasan tadahan hujan. la juga mengimbangi proses kitaran hidrologi dan berupaya mengurangkan hakisan tanah dan pergerakan jisim. Aktiviti berkaitan dengan hutan seperti menebang hutan memberi sumber pekerjaan kepada penduduk, sumber pendapatan negara dan mewujudkan industri berkaitan. Kayu keras seperti kayu cengal, kayu jati, kayu seraya, rotan, buluh dan damar adalah hasil dagangan utama. Malaysia merupakan salah sebuah negara yang membekalkan kayu keras dunia.

14           Tanah di komponen litosfera menyediakan tapak asas untuk aktiviti pertanian kebun kecil dan pertanian dagangan seperti getah dan kelapa sawit. Tanah laterit sesuai untuk tanaman kelapa sawit. Terdapat lebih kurang 2.7 juta hektar tanah ditanam dengan kelapa sawit di Malaysia. Kelapa sawit adalah tanaman eksport yang penting dan menyumbang kepada KDNK dan tukaran wang asing negara.

15           Malaysia mempunyai 'emas hitam', iaitu sumber petroleum dan gas asli yang menyumbang sebanyak 7% daripada sumber eksport negara dan menyediakan peluang pekerjaan yang luas. Secara tidak langsung, ia pemangkin kepada perkembangan bandar Paka, Kerteh dan Kemaman sebagai tempat memproses sumber mineral tersebut. Hasil daripada petroleum juga banyak membantu pembangunan negara Malaysia.

16           Komponen atmosfera (udara) merupakan sumber semula jadi yang sangat penting untuk manusia dan pelbagai jenis hidupan yang lain. la membekalkan oksigen (02) dan karbon dioksida (C02) kepada hidupan.



Daya Tampung Persekitaran Fizikal



1               Daya tampung sumber fizikal merujuk kepada kebolehan, kemampuan, keupayaan, keseimbangan atau kecukupan sesuatu sumber alam untuk menampung atau memenuhi keperluan penduduk dan kegunaan mereka pada jangka masa atau tempoh tertentu. Contohnya seperti air dan udara yang bersih, tanah pertanian, makanan, hutan dan mineral. Teknologi dan pengurusan sumber yang mapan serta bilangan penduduk yang optimum menentukan daya pengeluaran tanpa pula merosakkan sumber-sumber alam tersebut.

2               Daya tampung sumber alam adalah berkait rapat dengan:

(a)          Kuantiti dan kualiti sumber alam seperti simpanan mineral atau galian yang banyak dan berterusan serta sesuai dan selamat digunakan bagi menjamin kegunaan berpanjangan dan seterusnya boleh menjana pendapatan penduduk dan negara. Di samping itu, tanah yang subur dan luas sesuai untuk pertanian yang akan mempengaruhi daya pengeluaran dan kualiti.

(b)          Tingkat dan keupayaan teknologi untuk mengeksploitasi sumber. Bioteknologi berupaya meningkatkan hasil tanaman melalui teknik pengklonan dan hibrid. Pokok tanaman pula lebih tahan kepada penyakit dan berupaya mengeluarkan hasil dalam tempoh yang singkat. Penggunaan jentera moden juga mempercepatkan pengeluaran serta dapat mengatasi masalah operasi dan masalah tenaga kerja.

(c)          Pengurusan sumber yang cekap, sistematik dan berterusan. Tahap pendidikan, kemahiran, mengurus, menjalankan kerja, memantau, mengemas kini, penyelidikan dan post-mortem merupakan gerak kerja yang boleh mengelakkan kerosakan dan kepupusan sesuatu sumber. Contoh tindakan yang cekap adalah seperti usaha tanam semula, kitar semula dan ladang hutan yang boleh menjamin keberterusan sumber hutan.

(d)          Penduduk yang ramai akan menggunakan sumber tanah untuk pelbagai tujuan. Persaingan guna tanah, hakisan tanah dan runtuhan berlaku menyebabkan kegiatan dan kehidupan terganggu. Penggunaan tanah yang intensif untuk menampung bilangan penduduk yang ramai menyebabkan tanah cepat hilang kesuburan.

1               Jika sumber alam kehabisan, musnah, rosak dan tidak dapat memenuhi keperluan manusia pada tempoh diperlukan maka ia boleh menjejaskan sistem kehidupan manusia pada masa akan datang. Alam sekitar perlu dipulihkan supaya keseimbangan ekosistem terus berkekalan.

2               Penerokaan terhadap alam sekitar memerlukan penduduk menggunakan pendekatan berhemah dan mesra alam bertujuan mengekalkan daya tampung sesuatu sumber fizikal tersebut. Pendekatan lestari dalam semua aktiviti ekonomi penduduk adalah penentu kepada keupayaan menampung persekitaran fizikal.



Kesan Pertumbuhan Penduduk terhadap Alam Sekitar Fizikal




1               Berlaku hakisan tanah dan tanah runtuh. Kegiatan menebang pokok, membersihkan hutan, menarah dan memotong cerun secara berleluasa akan mempercepatkan kejadian hakisan dan gerakan jisim tanah. Perubahan pandang darat berlaku dengan meluas seperti kemusnahan infrastruktur, bangunan runtuh, nyawa terkorban dan kos membaik pulih adalah besar. Contohnya seperti yang berlaku di kawasan pertanian Tanah Tinggi Cameron pada tahun 2013 dan 2014.

2               Pencemaran alam sekitar terutama pencemaran udara, air dan sampah sarap yang dilakukan oleh penduduk yang tidak bertanggungjawab. Aktiviti perindustrian yang membebaskan asap ke udara dan mengalirkan sisa toksik ke dalam sungai telah menyebabkan berlakunya pencemaran yang serius. Lebih kurang 3.5 juta tan minyak dibuang ke dalam laut setiap tahun di Malaysia oleh pengusaha kapal yang tidak bertanggungjawab.

3               Aktiviti manusia di bandar telah mengubah kualiti udara dengan menambahkan bahan-bahan pencemar dan partikel terampai (PMIO) di dalam atmosfera bandar. Litupan tumbuhan yang kurang dan pelepasan gas-gas rumah hijau meningkatkan lagi suhu bumi.

4               Aktiviti pertanian penduduk yang meneroka tanah secara haram di kawasan tanah tinggi mempengaruhi kejadian banjir dan banjir kilat. Hal ini berlaku kerana tumbuhan yang bertindak sebagai span telah musnah sehingga tiada lagi kawasan simpanan air semula jadi. Luahan air hujan yang lebat dan berterusan menyebabkan kejadian banjir dan banjir kilat. Aktiviti pertanian yang tidak terkawal juga boleh mempengaruhi kejadian hakisan dan tanah runtuh yang boleh memusnahkan harta dan nyawa.

5               Kemusnahan ekosistem dan kepelbagaian biologi juga berlaku sehingga menyebabkan kepupusan dan habitat haiwan musnah. Punca utamanya ialah penerokaan hutan secara berleluasa tanpa permit atau secara haram.



Langkah-langkah Mengurangkan Kemusnahan terhadap Persekitaran Fizikal




1               Pembangunan berterusan atau lestari (sustainable development) bermaksud pembangunan yang memenuhi keperluan generasi masa kini tanpa menjejaskan kepentingan generasi akan datang.

2               Pembangunan lestari memberi penekanan kepada lapan prinsip pembangunan yang bertujuan untuk meningkatkan keseimbangan keperluan manusia yang tidak terbatas dengan persekitaran fizikal bersama sumber alamnya. Prinsip-prinsip tersebut ialah:

(a)          menjana atau menggalakkan semula pertumbuhan ekonomi

(b)          mengubah kualiti pertumbuhan ekonomi bagi menjamin kesejahteraan hidup

(c)          memulihara dan mempertingkatkan sumber asas

(d)          memastikan aras penduduk yang boleh ditampung

(e)          mengorientasikan semula teknologi dan kaedah pengurusan risiko

(f)           mengintegrasikan alam sekitar dan ekonomi dalam membuat keputusan

(g)          memperbaharui hubungan ekonomi antarabangsa

(h)          memperkukuhkan kerjasama antarabangsa.

3               Pemeliharaan merujuk kepada langkah pengawalan, mengekalkan, memelihara dan menjaga alam sekitar daripada kerosakan akibat pembangunan oleh manusia secara keterlaluan dan tidak terancang.

4               Pemuliharaan merujuk kepada langkah memperbaiki, iaitu membaik pulih alam sekjtar yang semakin terancam, rosak dan hampir pupus. Usaha pengawalan dilakukan melalui langkah perundangan dan langkah bukan perundangan.

(a)          Pelaksanaan akta, enakmen atau peraturan khususnya di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Perhutanan Negara, Akta Perikanan dan enakmen lain yang berkaitan.

(b)          Mewujudkan agensi pelaksana dan penguatkuasaan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Laut, Jabatan Perhutanan, PERHILITAN dan Pejabat Tanah dan Galian.

(c)          Menjalankan aktiviti rondaan, pemantauan dan tangkapan. Denda dan kompaun juga dikenakan selain menyita premis dan membatalkan lesen serta diheret ke mahkamah.

(d)          Melaksanakan Kajian Kesan Penilaian Alam Sekitar (EIA) di peringkat sebelum, semasa dan selepas sesuatu projek dilaksanakan. Kelulusan EIA diperlukan terlebih dahulu terutamanya sebelum sesuatu projek dijalankan.

5               Amalan pengurusan yang strategik meliputi langkah penstrukturan, amalan pemeliharaan dan amalan pemuliharaan.

6               Amalan tebang dan bakar hutan yang mencemarkan udara ditukar kepada amalan tebang dan reput yang boleh meningkatkan nutrien tanah.

7               Kawasan tanah yang gondol dan terdedah kepada agen hakisan akan ditanam dengan pokok dari jenis yang cepat membesar dan matang seperti pokok dari spesies batai, Acacia mangium dan sebagainya.

8               Mengikut Seksyen 10 (1) Akta Perhutanan Negara 1984, hutan dikelaskan kepada 11 jenis, iaitu hutan pengeluaran kayu, hutan perlindungan tanah, hutan tebus guna tanah, hutan kawalan banjir, hutan tadahan air, hutan perlindungan hidupan liar, hutan simpanan hutan dara, hutan lipur, hutan penyelidikan, hutan pendidikan dan hutan bagi maksud persekutuan.

9               Kaedah pillow tube juga digunakan untuk tujuan pengawalan hakisan pantai di pantai barat Semenanjung Malaysia. la dibuat dengan menggunakan pelbagai bahan semula jadi termasuk gentian, sabut serta pasir yang dibalut dengan kain tahan lasak dengan ketinggian 1.8 meter dan kelihatan seperti bantal besar yang merentangi arah pergerakan ombak laut.


Cuti2 Cameron 2013

Cuti2 Cameron 2013 Slideshow: Asmawi’s trip to Cameron Highlands was created with TripAdvisor TripWow!

Hari Keluarga Janda Baik, Bentong, Pahang 2011

Hari Keluarga di Janda Baik, Bentong, Pahang. Slideshow: Asmawi’s trip to Pahang, Malaysia was created by TripAdvisor. See another Pahang slideshow. Create your own stunning free slideshow from your travel photos.

TRIP TO LANGKAWI

Trip to Langkawi, Kedah Slideshow: Asmawi’s trip from Pahang, Malaysia to Langkawi was created by TripAdvisor. See another Langkawi slideshow. Create a free slideshow with music from your travel photos.